“Cintailah dia kerana manis kata-katanya bukan manis warna bibirnya, cintailah dia kerana menarik perwatakannya, bukan menariknya bentuk tubuh badannya dan cintailah dia dengan semua kelemahannya bukan kerana dia hamper sempurna.”
Kebanyakan remaja dewasa ini meletakkan rupa paras sebagai kriteria nombor satu untuk mencari pasangan yang sesuai, lalu soal ‘tertarik untuk mencuba di luar batasan agama’ pula menjadi asas untuk berkenalan. Malah semakin jarang kita mendengar, remaja yang bercinta ikhlas kerana menerima si dia seadanya. Ada sahaja yang tidak kena dengan seseorang itu. Misalnya matanya tidak cukup besarlah, bibirnya tidak cukup cantik, rambutnya tidak kena gaya, kulit yang tidak cukup bersih dan ada juga yang merungut, misai atau tudungnya tidak mengikuti fesyen semasa!
Semua itu semakin membuktikan remaja dewasa ini sudah mula taasub kepada kepentingan fizikal seseorang dan bukan lagi kepada hati seseorang apabila mencari pasangan untuk bercinta. Cuba fikirkan sejenak, apa yang kamu rasa jika orang lain yang menilai kamu hanya dari apa yang mereka lihat di atas tubuh badan kamu, sampaikan warna stoking kamu pun dijadikan bahan untuk dibawa berbincang? Pasti kamu akan berasa kurang selesa bukan?
Acap kali abang terbaca status di laman Twitter dan Facebook yang memperkatakan keadaan fizikal seseorang, ada sahaja yang dibincangkan secara terbuka atau memperli terutamanya apabila seseorang dilihat sudah naik badan, butang baju terbuka, jerawat semakin banyak dan ada juga yang sibuk perihal rakan-rakannya memakai seluar yang sama minggu lalu!
Satu pesan abang Fazley buat kamu semua, jika kamu kurang senang bila orang bercakap negatif tentang kamu, maka kamu juga jangan berbuat begitu terhadap orang lain. Malahan jika masih ada yang sibuk tentang bentuk badan dan rupa paras kamu, diam itu adalah lebih baik. Abaikan sahaja kata-kata mereka, lama-kelamaan mereka akan bosan dan menukar tajuk perbincangan.
Jangan mudah merendah diri jika kamu melihat ada di antara rakan-rakan yang mendapat lebih banyak perhatian berbanding kamu kerana mereka dianggap tinggi dan kacak atau kurus dan cantik. Rupa paras akan berubah apabila usia semakin meningkat namun hati yang baik boleh kekal buat selama lamanya. Buat kamu yang sentiasa menyokong abang selama ini dalam rancangan “Masterchef Selebriti”, abang ucapkan jutaan terima kasih kerana kamu telah memberi abang semangat dan kecekalan hingga abang menjadi Juara Masterchef Selebriti Malaysia yang pertama. Syukur Alhamdulillah dan terima kasih.
-ramaja
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.